Sunday, March 6, 2011

Program Kampung Angkat PSS&KRU cawangan Kota Kinabalu


Aktiviti: Program Kampung Angkat
Tempat: Kampung Padas Baru, Tebobon
Tarikh: 5-6 Mac 2011

Persatuan Siswazah Sabah(PSS) cawangan Kota Kinabalu dibantu oleh ahli Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) cawangan Kota Kinabalu buat julung kalinya telah melangkah setapak maju lagi ke hadapan dengan merealisasikan program kampung angkat setelah sekian lama dirancang. Sekitar 25 ahli PSS dan KRUKK telah diambil menjadi anak angkat bagi sebanyaki 7 buah keluarga di kampung berkenaan.

5 Mac 2011
Ketibaan PSS dan KRU di Kampung Padas Baru pada jam 8.30 bersama-sama dengan kehadiran penduduk di sekitar kampung. Selesai pendaftaran, majlis perasmian bermula dengan bacaan doa serta ucapan alu-aluan dari pengerusi JKK Kampung Padas iaitu Ust Marasin dan juga sdr Mohd Al-Amin selaku pengarah program. Dalam pada itu, penduduk kampung juga sempat diberi penerangan ringkas berkenaan program bagi melancarkan lagi perjalanan program 2 hari 1 malam ini.

Bacaan doa oleh sdr. Sarip Wahab

Penyerahan cenderahati kepada perasmi

Berakhirnya majlis perasmian, ahli PSS dan KRU dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum diserahkan kepada keluarga angkat. Masing-masing teruja untuk menerima ahli keluarga baru. Walaupun hidup dalam keadaan serba kurang dari segi kemudahan, namun ianya tidak menjadi penghalang kepada penduduk kampung untuk menerima kedatangan 'anak baru' mereka. Bahkan ada yang sudah bersedia mahu mengambil seramai 10 orang peserta untuk dijadikan anak angkat.

Usai menunaikan solat zohor dirumah keluarga angkat, aktiviti membaikpulih surau pula dilakukan. Surau yang usang itu diberi nafas baru dengan proses mengecat semula, pembersihan di dalam dan luar surau. Aktiviti gotong-royong ini berterusan sehingga menjelangnya waktu asar.



Pada sebelah petang, sukaneka pula dijalankan bagi mengeratkan lagi hubungan yang baru terjalin di antara wakil PSS dan penduduk kampung. Acara seperti meniup tepung, isi air dalam botol dan mengikat kaki secara berkumpulan ternyata berjaya mengukir senyuman di bibir setiap yang terlibat.




Pada sebelah malam pula, perjalanan program lebih tertumpu kepada pengisian masing-masing bersama ahli keluarga angkat selain kuliah maghrib.

6 Mac 2011
Seawal 4 pagi, ahli PSS dan KRU ditugaskan membimbing keluarga angkat untuk berqiamullail di rumah masing-masing. Di sini ahli PSS dan KRU banyak belajar kaedah pendekatan yang sesuai dalam mendedahkan dan menerapkan pengamalan Islam kepada keluarga masing-masing. Kemudiannya menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Pada jam 8 pagi, penduduk kampung sekali lagi dijemput untuk bersama-sama mendengar pengisian bertajuk "Rumahku syurgaku". Pengisian ini diadakan di tanah lapang berhadapan dengan rumah pengerusi kampung.

Pada jam 9, majlis penutupan pula dilangsungkan. Wakil PSS (sdr. Al-Amin), ketua kampung (En. Hassan) dan pengerusi kampung (Ust Marasin) telah menyampaikan ucapan penutupan sebagai tanda penghargaan di atas kesudian semua pihak yang melibatkan diri. Selain cenderahati yang diberikan setiap keluarga angkat, pemeriksaan kesihatan juga turut dijalankan secara percuma. Sebelum berangkat pulang, aktiviti memasak beramai-ramai juga sempat diadakan.


Sekiranya tiada aral melintang insya-Allah, susulan umpama aktiviti ziarah akan diadakan secara berkala bagi mengeratkan lagi jalinan silaturrahim di antara 2 komuniti ini. Syukran jazilan buat semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Jazakallahu Khayran



lebih banyak gambar di sini

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More